TAMBAK Johor.
TAMBAK Johor.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan isu terkini termasuk operasi imigresen dan pemprosesan trafik harian.

Dalam pertemuan itu, isu purata masa menunggu untuk pemeriksaan imigresen serta keperluan penambahbaikan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) turut dibincangkan.

Pertemuan berkenaan disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir serta Ketua Pegawai Penyelaras BSI dan KSAB Suraya Hanim Sith.

Turut hadir, Ketua Imigresen BSI Adam Abu Hanipah; Timbalan Ketua Imigresen (Kawalan) BSI R Vimala; Ketua Imigresen KSAB Siti Hajar Mohd dan Timbalan Ketua Imigresen KSAB Ahmad Atturmudzy Mohd Yusof.

Semalam, Onn Hafiz dilaporkan menyatakan kekecewaan apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor, tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan, pagi kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata, perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI itu masih dilihat masih belum berada pada kecekapan penuh.

Onn dilaporkan berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dengan harapan isu terbabit tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 12:04 PM