Penguat kuasa DBKK melakukan pemeriksaan kebersihan ke atas sebuah premis makanan di Kota Kinabalu.
Penguat kuasa DBKK melakukan pemeriksaan kebersihan ke atas sebuah premis makanan di Kota Kinabalu.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan 89 kompaun ke atas pemilik premis makanan di sekitar bandar raya ini kerana didapati tahap kebersihan tidak memuaskan dalam tempoh Januari hingga Mac 2024.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon berkata, semua 89 premis dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 dan Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984.

Katanya, antara kesalahan yang dikompaun adalah pengendali makanan yang gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah dan pengendali makanan gagal memakai kad pengenalan pengendali makanan ketika bekerja.

"Selain itu, premis tidak memasang dan menyelenggara perangkap lemak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, melakukan aktiviti mencuci peralatan dan menyediakan makanan di kaki lima atau ruang legar, menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta membuang sampah, sisa cecair atau minyak di tempat awam.

"DBKK juga mengarahkan premis-premis makanan supaya membuat kawalan makhluk perosak untuk mengawal lipas, lalat dan tikus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Robert berkata pihaknya juga memeriksa dan memberikan penarafan bintang ke atas 301 tandas di premis makanan.

"Sejumlah 137 tandas mendapat penarafan 3 bintang ke atas manakala 164 premis mendapat penarafan 2 bintang ke bawah.

"Bagi memberikan dorongan dan insentif kepada pengusaha premis makanan menaik taraf tandas mereka, DBKK sedang mengadakan pertandingan Tandas Bersih Premis Makanan dan majlis penyampaian hadiahnya akan diadakan pada Jun ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 506 premis makanan diperiksa dan digredkan dalam tempoh Januari hingga Mac 2024 daripada 1,682 jumlah keseluruhan premis makanan.

"Dalam pemeriksaan berkenaan, sebanyak 177 atau 35 peratus premis makanan mendapat gred A, manakala 324 (64 peratus) dan lima (satu peratus) premis makanan masing-masing mendapati gred B dan C.

"DBKK akan meneruskan penguatkuasaan tegas serta tindakan kompaun dan akan menutup premis makanan yang kotor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:31 PM