Audrey Dermawan

Georgetown: Orang ramai masih boleh mengemukakan rayuan terhadap Projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) yang sudah mendapat kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kelulusan diberikan adalah berdasarkan laporan EIA baharu yang dikemukakan selepas laporan sebelum ini dibatalkan pada 2021.

"Sesiapa sahaja boleh mengambil tindakan untuk merayu kelulusan terbaharu yang diberikan. Itu di luar (bidang kuasa) kita.

"Apa yang boleh saya katakan adalah laporan EIA sudah melalui semua pertimbangan teknikal yang diperlukan daripada pelbagai agensi dan jawatankuasa kerajaan," katanya di pejabatnya di Komtar di sini, hari ini.

Chow berkata, apa yang penting kini adalah daripada segi pematuhan.

"Jika projek itu tidak dibenarkan untuk dilaksanakan, bagaimana mereka boleh membuktikan mereka boleh mematuhi syarat yang ditetapkan? Ujian sebenar adalah pada pelaksanaan dan bukan pada kelulusan," katanya.

Semalam, Chow mengumumkan Pulau Pinang akhirnya mendapat kelulusan EIA untuk projek penambakan PSI dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

Beliau juga berkata, sebarang kerja penambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diperoleh, yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat kekecewaan yang diutarakan oleh beberapa kelompok termasuk kumpulan pencinta alam sekitar dan nelayan.

Mereka mendakwa semua kebimbangan dibangkitkan selama ini adalah sia-sia.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut meminta kerajaan Pulau Pinang mendedahkan kepada umum 71 syarat yang dikenakan itu.

CHOW Kon Yeow memberi kenyataan media mengenai projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) pada sidang media di Komtar, Georgetown. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow memberi kenyataan media mengenai projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) pada sidang media di Komtar, Georgetown. FOTO Mikail Ong

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) Zakaria Ismail berkata, mereka akan mengemukakan satu lagi rayuan kepada Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kelulusan terkini.

Menurutnya, pihaknya akan membuat segala persiapan yang diperlukan sebelum mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan.

"Kami percaya masih ada ruang untuk kami merayu keputusan itu. Pada masa ini, kelulusan EMP masih belum selesai.

"Selain itu, 71 syarat untuk kelulusan EIA bukanlah sesuatu yang boleh dipenuhi dengan mudah," katanya seperti dilaporkan.

Ditanya mengenai permintaan SAM untuk mendedahkan 71 syarat kepada umum, Chow menerangkan secara ringkas 15 bahagian daripada 71 syarat itu.

Antara syarat berkenaan termasuklah pematuhan kepada Akta Alam Sekitar daripada segi kerja pengorekan dan penambakan, kawalan pencemaran udara, air dan bunyi, pelan tindak balas kecemasan di tapak dan luar tapak dan penyediaan EMP.

Syarat nombor 70 ialah keperluan untuk memaklumkan kepada JAS jika terdapat sebarang perubahan dalam projek dalam tempoh 30 hari selepas perubahan itu.

"Syarat terakhir adalah rakan kongsi penyampai projek perlu mematuhi sebarang syarat dan keperluan tambahan yang ditetapkan oleh JAS mengikut Akta Alam Sekitar.

"Seperti yang saya katakan, projek ini sudah melalui proses yang panjang dan ia mampu mengubah Pulau Pinang ke peringkat seterusnya," katanya.

Butiran projek PSI boleh didapati di laman web Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd di penanginfra.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 3:38 PM