Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kerajaan negeri akan melaksanakan kerja pembaikan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang menggunakan kaedah 'hot in-place recycling' (HIPR) sebagai langkah segera yang diambil sementara menunggu penyelesaian jangka masa panjang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, walaupun ia bukanlah penyelesaian tuntas, namun kaedah itu mampu bertahan lebih lama berbanding kaedah tampalan biasa.

"Masalah kerosakan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang mesti diselesaikan segera. Perjumpaan bersama Menteri Kerja Raya sudah dibuat, perbincangan bersama barisan kepimpinan Kementerian Kerja Raya juga dilaksanakan dan permohonan peruntukan juga sudah dimajukan.

"Sementara menunggu keputusan permohonan peruntukan bagi pembaikan Lebuhraya Pasir Gudang ini diluluskan dan kerja-kerja dilaksanakan, kaedah pembaikan khususnya penampalan lubang-lubang mesti dilakukan segera dengan kaedah tampalan yang tahan lama.

"Kaedah yang dipersetujui ialah kaedah HIPR yang mana dengan kaedah ini, lapisan permukaan yang rosak akan dipanaskan di lokasi kerosakan dan digunakan semula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan bagi tujuan kerja pembaikan jalan berlubang di lebuh raya itu.

Turut sama dalam perjumpaan itu adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Datuk Asman Shah Abdul Rahman dan Jurutera Daerah Johor Bahru Ir Norzahamawaty Md Desa.

Menurut Mohamad Fazli, satu pasukan petugas khas juga diwujudkan bagi membincangkan kerja menampal semua lubang di sepanjang jalan berkenaan dalam kadar segera.

Katanya, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi juga susah bersetuju menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja segera terbabit.

"Kerja-kerja ini akan dilakukan segera bagi mengelakkan keselamatan pengguna jalan raya terancam dan kenderaan mengalami kerosakan akibat terlanggar lubang.

"Saya sendiri akan memantau pasukan petugas ini secara dekat dan memastikan ia disiapkan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 4:29 PM