Jalan rosak.
Jalan rosak.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Kerja menaik taraf jalan raya di negeri ini menjadi sebahagian daripada agenda yang diberi keutamaan oleh kerajaan Johor tahun depan dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan selesa.

Menyedari isu itu kerap disuarakan rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM691.45 juta dalam Belanjawan 2023 untuk menyelenggara jalan, sistem perparitan, lampu dan kelengkapan jalan yang termasuk daripada peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi bertanggungjawab sudah menyuarakan komitmen mereka untuk menyelesaikan projek naik taraf jalan raya dan isu berbangkit dengan kadar segera," katanya yang membentangkan Belanjawan 2023 pada 1 Disember lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh menjelaskan pengukuran kualiti jalan turut bersandar ujian IRI iaitu International Roughness Index.

Katanya, unit berkenaan menilai keadaan jalan serta kerosakan dengan mengkategorikan ia mengikut peringkat.

"Pihak JKR juga menggunakan sistem HDM4 iaitu sistem yang akan membantu kami dalam mencadangkan kaedah pembaikan jalan terbabit," katanya.

Sistem HDM4 ini mengambil kira banyak faktor seperti nilai IRI, kos serta ketahanan sesuatu kerosakan itu.

"Nilai IRl yang berbeza antara setiap lorong laluan serta sepanjang jalan memberi indikasi bahawa setiap jalan yang rosak perlu dibaiki segera serta ada kerosakan yang boleh ditangguhkan pembaikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:01 AM