GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Enam suspek samun dan mendatangkan kecederaan termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan berasingan di daerah ini awal pagi ini.

Kesemua suspek tempatan berusia 21 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di empat buah rumah berasingan di kawasan Taman Desa Tebrau, Masai dan Pasir Gudang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kes kes samun dan mendatangkan cedera terhadap seorang mangsa di sebuah kedai runcit di Ulu Tiram di sni, Jumaat lalu.

Katanya, polis berjaya menemukan semula barang kes hasil jenayah samun itu iaitu dua telefon bimbit milik mangsa.

"Turut ditemukan semula sebuah motosikal yang dipasang nombor pendaftaran palsu dan siasatan lanjut mendapati ia dilaporkan hilang pada Jumaat lalu di kawasan Seri Alam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, saringan awal ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah Methamphetamine.

Menurutnya, semakan turut mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Malah dua orang suspek juga dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:58 PM