FARIHAH (kanan) menyampaikan faedah pengurusan jenazah kepada Zamri Sulong, 62, (kiri) suami Rubiah Omar, 39, yang meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam kepala. FOTO Zaid Salim
FARIHAH (kanan) menyampaikan faedah pengurusan jenazah kepada Zamri Sulong, 62, (kiri) suami Rubiah Omar, 39, yang meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam kepala. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pemberita sambilan antara sektor pekerjaan layak menerima insentif 80 peratus dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Padanan Caruman, tahun ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, selain pemberita sambilan, sektor pekerjaan lain layak menerima manfaat itu adalah pekerja sektor gig, tani, jaja, lain upaya, seni, orang asal, pelancongan dan usahawanita.

"Insentif itu memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 individu yang bekerja sendiri di seluruh negeri ini.

"Menerusi inisiatif itu, pencarum hanya perlu membayar 20 peratus atau RM46.60 daripada keseluruhan caruman bernilai RM232.80 dan 80 peratus lagi atau RM186.20 akan ditanggung kerajaan membabitkan perlindungan selama setahun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah Pencen Penakat dan Pengurusan Jenazah kepada keluarga wartawan Sinar Harian Terengganu, Rubiah Omar, 39, yang meninggal dunia kerana ketumbuhan dalam kepala, di Kampung Gong Pak Maseh, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Perkeso menyeru mereka yang bekerja sendiri tidak melepaskan peluang mencarum dalam skim SPS berkenaan.

Farihah berkata, pihaknya bercadang menganjurkan program bersama media Terengganu sebagai permulaan sebelum meneruskan program sama di sektor lain bagi memudahkan dan melancarkan urusan caruman itu.

"Ini adalah peluang kepada mereka yang bekerja sendiri mencarum dengan Perkeso dan berharap peluang ini tidak disia-siakan.

"Perkeso Terengganu membayar sebanyak RM15.5 juta faedah pampasan membabitkan 6,906 kes dalam tempoh April hingga November, tahun lalu," katanya.

Sementara itu, suami Rubiah, Ahmad Zamri Sulong, 62, berkata, wang Pencen Penakat berjumlah RM1,644.45 sebulan yang diterima sepanjang hayat itu akan digunakan untuk pendidikan dua anaknya, Muhammad Zulfan Fauzan Ahmad Zamri, 10, dan Muhammad Zulfadhli Firdaus, 8, sehingga tamat persekolahan kelak.

"Selain Pencen Penakat, Perkeso turut memberi faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000.

"Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perkeso dan bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 5:44 PM