KEBAKARAN memusnahkan dua buah rumah terbakar Kampung Kesapang, Kota Belud. FOTO Ihsan JBPM.
KEBAKARAN memusnahkan dua buah rumah terbakar Kampung Kesapang, Kota Belud. FOTO Ihsan JBPM.
Juwan Riduan


Kota Belud: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah didiami musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kesapang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, api dipercayai berlaku dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat ke rumah bersebelahan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas penghuni kedua-dua rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.44 pagi.

Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal termasuk sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) musnah 100 peratus.

"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air terbuka berhampiran (parit) menggunakan pam angkut," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan api terkawal pada 12.08 tengah hari.

"Operasi ditamatkan pada 1.50 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 3:10 PM