TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan dua lelaki selepas tular rakaman video memaparkan perbuatan mereka melakukan buli jalanan membabitkan sebuah kenderaan di daerah ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan klip video berdurasi 9 saat yang dimuat naik di Facebook.

"Video itu memaparkan aksi buli jalanan membabitkan sebuah kenderaan yang menghalang pergerakan kenderaan lain.

"Berikutan itu, Polis Daerah Port Dickson menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam insiden itu," katanya dalam kenyataannya, malam tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 279 Kanun Keseksaan (KK), selain kesalahan trafik yang disiasat mengikut Seksyen 336 KK, Seksyen 26, 42, 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 50 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan tuduh ke atas suspek diperoleh mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu.

"Suspek berusia 23 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson pada 3 Mei (hari ini) pada 8.30 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 12:16 AM