TANGKAP layar video yang tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video yang tular di media sosial. FOTO tular
Ahmad Hasbi


Seremban: Rasa tidak puas hati dengan kejadian yang berlaku di sebuah kawasan rehat dan rawat (RnR) mengheret kepada pergaduhan di lebuh raya membabitkan pemandu dua kenderaan.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 30 Disember tahun lalu, di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), namun rakaman kejadian mulai tular di Tiktok dan dikesan polis pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 16 saat memaparkan kejadian buli jalanan yang disunting membabitkan dua kenderaan.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku 2 petang, 30 Disember 2022 di SPDH menghala ke arah Port Dickson.

"Ia membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu Toyota Hilux dan lelaki berusia 52 tahun yang juga pemandu kereta BMW," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nanda berkata, berdasarkan siasatan kejadian berpunca akibat pertelingkahan dua pemandu itu di kawasan RnR Mambau akibat beberapa komponen batang paip terjatuh daripada Toyota Hilux dan hampir mengenai kereta BMW.

"Selepas berlaku pertelingkahan dan kedua-dua pihak beredar dari lokasi. Bagaimanapun, pemandu Toyota Hilux mengekori pemandu BMW dan memberhentikan kenderaan di lorong kanan di simpang empat lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson.

"Pemandu Toyota Hilux merakam gambar pemandu BMW dipercayai kerana pemandu BMW merakamnya ketika berada di RNR Mambau," katanya.

Katanya, selepas kejadian, kedua-dua pemandu ke arah destinasi masing-masing dan tiada kesinambungan kejadian yang tidak diingini yang berlaku ke atas kedua-dua pihak selepas itu.

"Kedua-dua pemandu dan saksi kejadian akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Rule 92A LN170/59 dan siasatan lanjut diteruskan," katanya.

Caption: SEREMBAN 9 MAC 2023. Kejadian buli jalan raya dipercayai berlaku pada hujung tahun lalu, di Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), di sini, namun dikesan tular sejak pagi tadi. Foto tular.

From: Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 5:21 PM