RAKAMAN CCTV dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Bemban, Jasin, hari ini. FOTO ihsan polis.
RAKAMAN CCTV dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Bemban, Jasin, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nur Saliawati Salberi


PENJAGA kaunter wanita berdepan detik mencemaskan apabila diacu parang dalam kejadian samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Bemban, Jasin, hari ini.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, wanita berusia 23 tahun itu berada seorang diri di kaunter pembayaran minyak sebelum didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup dan bertopeng.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian samun itu dipercayai membabitkan dua suspek dan seorang daripadanya menunggang motosikal serta menunggu di luar premis.

Beliau berkata, seorang lagi suspek bersenjatakan parang meluru ke arah mangsa dan mengacu sebilah parang pendek sepanjang 0.3 meter lalu meminta wang serta barang berharga milik mangsa.

“Suspek turut mengambil telefon bimbit mangsa serta peti penyimpanan wang tunai di kaunter pembayaran minyak.

“Sebelum keluar, suspek ke kaunter jualan kedai serbaneka dan mengambil rokok pelbagai jenama di almari pameran.

“Jumlah kerugian termasuk wang tunai, telefon bimbit dan rokok dianggarkan RM4,500,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, di dalam premis itu mempunyai dua kaunter pembayaran selain terdapat dua pekerja wanita berusia 19 tahun di bahagian kedai serbaneka.

“Dua pekerja terbabit sempat masuk serta mengunci diri di dalam stor untuk keselamatan dan melihat kejadian dari cermin.

“Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit dan mangsa tidak cedera.

“Usaha mengesan kedua-dua suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dengan bersenjatakan parang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 8:18 PM