FATIMAH Abdullah bercakap kepada media pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
FATIMAH Abdullah bercakap kepada media pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak mengaktifkan pangkalan hadapan bagi menempatkan bekalan air minuman berbotol untuk dihantar kepada penduduk yang terputus bekalan air ketika musim kemarau.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini kali pertama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) membuka pangkalan hadapan khusus untuk menghadapi musim kemarau.

Menurutnya, pangkalan hadapan itu ditempatkan di kawasan kampung dan rumah panjang di pedalaman yang dikenal pasti berpotensi terputus bekalan air ketika kemarau panjang.

"Biasanya kita membuka pangkalan hadapan untuk menyimpan bekalan makanan kering yang alam diagihkan kepada mangsa banjir ketika musim tengkujuh.

"Tetapi kini kita membuka pula pangkalan hadapan kerana musim kemarau sudah bermula dan kita perlu menyediakan pangkalan hadapan yang berdekatan dengan kawasan yang berpotensi terputus bekalan air bagi memudahkan kita mengagihkan bantuan air minuman berbotol kepada penduduk terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Fatimah berkata, berbeza dengan musim tengkujuh, pangkalan hadapan musim kemarau hanya akan menyimpan bekalan air minuman.

"Selain kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku gangguan bekalan air, pangkalan hadapan itu juga akan dibuka di kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada air hujan sebagai sumber air minuman.

"Ini kerana apabila berlaku kemarau panjang, penduduk yang bergantung kepada air hujan akan terputus bekalan air untuk minum dan memasak," katanya.

Menurutnya lagi, persediaan rapi sudah dilaksanakan sejak cuaca panas melampau melanda negeri ini kira-kira dua minggu lalu dan pihaknya akan menghantar bekalan air minum berbotol itu pada bila-bila masa dengan menggunakan aset pelbagai agensi.

"Seorang penduduk yang terjejas akibat kemarau akan menerima satu kotak mengandungi 12 botol air minuman (1.5 liter) dan jika dalam satu rumah mempunyai 12 orang penghuni bermakna mereka akan menerima 12 kotak atau 144 botol.

"Penghantaran akan dilakukan di kawasan terjejas dengan pelbagai cara termasuk menggunakan tongkang bagi kawasan penempatan yang tiada akses jalan raya," katanya.

Selain itu katanya, bagi kawasan yang boleh dihubungi dengan jalan raya, penghantaran bekalan air akan dilakukan menggunakan lori tangki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 3:42 PM