GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Bekalan air Sarawak adalah mencukupi bagi menampung keperluan rakyat seluruh negeri ini sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan jika kemarau berterusan.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pada masa ini, sumber bekalan air adalah daripada empat empangan air sedia ada iaitu Empangan Bengoh di Kuching, Empangan Gerugu di Sarikei serta Empangan Sika dan Empangan Assyakirin di Bintulu.

Justeru, katanya sekiranya berlaku kemarau, agensi bekalan air Sarawak akan mengaktifkan Pelan Kontingensi Kemarau di kawasan yang terjejas.

"Agensi terbabit ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU).

"Pemindahan air mentah sedang dirancang dan dibina seperti di Sri Aman dan Miri bagi menampung keperluan bekalan air mentah dan mampu untuk disalurkan jika paras air di muka sauk adalah rendah terutamanya ketika musim kemarau.

"Perancangan dan pembangunan sumber bekalan air ini dan juga pembentukan rangkaian grid air akan membekalkan serta memastikan bekalan air di Sarawak adalah mencukupi dan berdaya tahan.

"Kerja pembangunan sumber air mentah akan dilaksanakan berdasarkan kepada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata agensi bekalan air juga akan menghantar bekalan air dengan menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas akibat kemarau.

"Pusat perkumpulan air komuniti akan dikenalpasti dan dibina mengikut keperluan bagi melaraskan dan memudahkan orang awam untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Pada masa sama, Dr Abdul Rahman berkata Kerajaan Sarawak juga membekalkan tangki air ke kawasan yang menghadapi masalah bekalan air untuk kegunaan penyimpanan air bersih.

Katanya sebanyak 35,534 tangki air diperuntukkan dalam pembekalan Tangki Air Kerajaan Sarawak Fasa 3 di mana 81 peratus sudah dihantar setakat ini.

"Sejak 2018, sebanyak 55,851 buah tangki air diperuntukkan untuk inisiatif ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian dan agensi-agensi bekalan air akan terus memantau situasi semasa dan akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) termasuk agensi-agensi lain bagi memastikan masalah bekalan air akibat kemarau dapat ditangani lebih awal.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air secara berhemah dan menyimpan bekalan air secukupnya lebih-lebih lagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan musim kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 5:51 PM