SAWAH padi yang kering-kontang di Kampung Sangkir, Kota Belud. -Foto NSTP
SAWAH padi yang kering-kontang di Kampung Sangkir, Kota Belud. -Foto NSTP
Muhamaad Razis Ismail


KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganggarkan 19,300 pesawah di negara ini terjejas teruk berikutan musim kemarau.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, berkata tiga negeri yang dikenal pasti terjejas ialah Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Katanya, kekurangan bekalan air itu memberi kesan terhadap penanaman padi musim pertama, sekali gus menjejaskan pengeluaran beras.

“Cuaca kemarau melampau memberi kesan kepada pesawah di Kelantan, di kawasan luar jelapang Terengganu dan Kota Belud, Sabah berikutan masalah bekalan air terhad.

“Pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan masalah bekalan air sungai dan pokok padi hanya bertahan dalam tempoh dua minggu “Sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan menjejaskan penanaman padi musim pertama, sekali gus menyebabkan pesawah berdepan kerugian lebih besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang 2018 KADA di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah segera dengan turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi pesawah.

“Di Kelantan, kami menyediakan telaga tiub sebanyak 200 unit dan kami akan menambah 100 lagi dalam masa terdekat selain menyerahkan pam mudah alih kepada pesawah secara berperingkat.

“Saya yakin dalam masa terdekat semua masalah air termasuk tiada sumber air langsung diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd Sallehuddin menggesa pegawai dan kakitangan KADA untuk berusaha meningkatkan pengeluaran beras.

“Sehingga kini, KADA menyumbang lapan peratus bekalan beras negara. Saya berharap pegawai dan kakitangan bekerja lebih keras untuk mempertingkatkan pengeluaran beras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:30 AM