Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Permintaan terhadap 'ike bekok' bukan sahaja mendapat sambutan pada hari biasa dan Ramadan, malah ia turut menjadi pilihan kepada perantau membelinya sebelum kembali ke tempat kerja mereka di luar Kelantan.

Pengusahanya, Nor Azreena Mohd Nor, 39, berkata, dia yang dibantu pekerjanya akan memproses antara 50 hingga 100 kilogram (kg) setiap hari dari pelbagai spesies ikan segar yang diambil daripada pembekal di Tok Bali, Pasir Puteh; Geting, Tumpat dan Jelawat, Bachok bagi memenuhi permintaan pelanggan yang singgah di gerainya di Jalan Kota Bharu-KualaKrai dekat Kampung Berangan, Kadok sejak Ramadan lalu.

Menurutnya, gerainya itu yang terletak Jalan Kota Bharu-Kuala Krai menjadi antara laluan utama untuk perantau pulang ke Kuala Lumpur dan kebiasaannya mereka akan singgah membeli 'ike bekok' untuk dibawa pulang sebagai bekalan.

"Alhamdulillah, perniagaan ini yang diusahakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih dua tahun lalu mendapat sambutan yang baik sehingga saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan dari seluruh negeri," ketika ditemui di gerai jualannya di Kampung Berangan, Kadok di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi menghasilkan 'ike bekok' itu, dia menggunakan ikan cencaru, gelama, pari, selar dan kerisi.

Katanya, yang paling mendapat permintaan ialah ikan gelama gigi disebabkan rasa isi ikan yang lemak berbanding ikan lain.

"Bagaimanapun, tidak semua ikan boleh dijadikan 'ike bekok' kerana ada yang boleh menyebabkan berasa gatal jika dimakan.

"Harga yang dijual secara mentah bermula dari RM25 hingga RM40 sekilogram bergantung kepada jenis ikan," katanya.

Nor Azreena berkata, proses untuk membuatnya tidak begitu rumit kerana ikan yang sudah disiang dan dibersihkan direndam dalam larutan air garam selama semalaman sebelum direndam pula dalam air biasa bagi menghilangkan rasa masin berlebihan.

"Ketika ini 'ike bekok' yang dijemur cepat kering memandangkan keadaan cuaca yang panas dan ia mampu bertahan antara tiga atau empat minggu jika disimpan dalam peti sejuk beku.

"Sebelum ia dimasak, baunya mungkin agak kurang menyenangkan, namun ketika digoreng bau itu berubah menjadi aroma menyelerakan dan rasanya sangat sedap," katanya yang turut menjual pelbagai jenis ikan kering yang diambil daripada pembekal di sekitar Kelantan.

Menurutnya, bagi menghasilkan 'ike bekok' yang baik dan enak, aspek kebersihan dan kesegaran ikan perlu diberi perhatian bagi memastikan perniagaan yang dijalankan dapat bertahan lebih lama.

"Walaupun berbau, ia sentiasa dicari kerana sememangnya mempunyai tarikan dan ada penggemarnya yang tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 4:02 PM
ZAINAB Husin menunjukkan ikan gelama bengkak yang sudah siap diproses. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ZAINAB Husin menunjukkan ikan gelama bengkak yang sudah siap diproses. FOTO Hazira Ahmad Zaidi