ORANG ramai mengunjungi kedai makan Kak Pah dan Abe Loh yang menyediakan menu ikan bengkak di Kampung Geting.
ORANG ramai mengunjungi kedai makan Kak Pah dan Abe Loh yang menyediakan menu ikan bengkak di Kampung Geting.
Siti Rohana Idris


Tumpat: Aroma ‘ike bekok’ (ikan bengkak) yang sedang digoreng sudah mampu membuatkan pelanggan teruja untuk merasai makanan unik ini yang dihidangkan bersama ulam dan menu masakan kampung lain.

Jadi tidak hairanlah seawal jam 8 pagi, kedai makan Kak Pah dan Abe Loh Ike Bekok di Kampung Geting di sini, sudah dipenuhi pelanggan biarpun premis itu terletak di lokasi agak terpencil.

Pemilik kedai makan, Noriah Ghazali, 52, atau mesra disapa Kak Pah berkata, dia mula berniaga ikan bengkak dengan suaminya, Abdullah Yahya, 59, sejak lima tahun lalu.

Katanya, ikan bengkak adalah ikan yang diproses hasil rendaman bersama garam semalaman sebelum dijemur selama empat jam.

“Sebelum dimasak, baunya agak kurang menyenangkan. Namun ketika digoreng bau itu berubah menjadi aroma menyelerakan dan rasanya sangat sedap.

“Kebiasaannya untuk menghasilkan ikan bengkak, saya akan gunakan ikan layur, cencaru, kekek dan gelama.

“Setiap hari, saya mampu menghasilkan hampir 50 kilogram ikan bengkak sama ada untuk dimakan di kedai atau dijual secara mentah kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kedai makannya mengamalkan konsep layan diri dengan pelanggan yang datang hanya perlu menunjukkan ikan bengkak yang diingini sebelum ia digoreng oleh pekerja.

“Ulam dan masakan kampung lain diambil sendiri mengikut kuantiti yang diinginkan.

“Harga ikan bengkak yang dijual secara mentah bermula dari RM10 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada jenis ikan,” katanya.

Seorang pelanggan, Ramlah Yatim, 50, berkata, dia mengetahui mengenai kedai makan Kak Pah menerusi laman sosial dan terus datang mencuba.

“Saya adalah pelanggan tetap dan kerap menjamu selera di sini bersama keluarga jika ada kelapangan.

“Malah, semasa mengadakan kenduri perkahwinan anak baru-baru ini, saya mendapatkan ikan bengkak dari sini untuk dijadikan juadah tambahan,” katanya.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, Nurfazliene Nawawi, 22, berkata, dia tertarik mahu mencuba menu itu kerana tidak pernah mendengarnya sebelum ini.

“Rasanya memang sedap dan lain daripada ikan kering kerana tidak terlalu masin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 10:12 AM