KA Siong (kiri) dan Loke (kanan) FOTO Arkib NSTP
KA Siong (kiri) dan Loke (kanan) FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sepatutnya mendidik rakyat mendapatkan tiket penerbangan murah dan bukan memeriksa harga tiket kapal terbang menggunakan satu aplikasi sama meskipun menggunakan tiga telefon bimbit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, Ka Siong sepatutnya tahu setiap syarikat penerbangan mempunyai aplikasi masing-masing dan bukan hanya ada aplikasi AirAsia Super Apps seperti digunakan beliau.

"Ka Siong maklum menggunakan tiga telefon bimbit untuk memeriksa aplikasi tiket penerbangan, namun yang pelik kenapa tidak periksa tiga aplikasi berlainan.

"Sebagai bekas Menteri Pengangkutan seharusnya beliau mendidik rakyat mendapatkan tiket termurah dengan membandingkan pelbagai aplikasi, bukan hanya melihat kepada satu aplikasi semata-mata.

"Beliau takkan tak tahu bahawa Malaysia Airlines ada aplikasi sendiri. Kalau periksa tiket Malaysia Airlines, mengapa guna aplikasi AirAsia. Ini macam hendak beli KFC tapi pergi ke McDonald's. Jadi ini tidak masuk akal.

"Saya berharap Ka Siong tidak keluar kenyataan yang mengelirukan orang ramai, mungkin ada yang tidak faham bagaimana harga tiket ditentukan oleh syarikat penerbangan atau apakah mekanisme syarikat untuk tentukan harga terbabit, tapi sebagai bekas menteri semestinya (Ka Siong) tahu perkara itu," katanya semalam.

Mengulas lanjut Loke berkata, isunya ketika ini ialah ada pihak ketiga yang menjual tiket untuk Malaysia Airlines.

"Memang ada pelbagai aplikasi yang menjual tiket untuk Malaysia Airlines, malah saya dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail, Malaysia Airlines sekarang ada pertikaian dengan pihak AirAsia berkenaan dengan penjualan tiket ini melalui aplikasi AirAsia.

"Jadi Malaysia Airlines sudah memfailkan injuksi terhadap Super App AirAsia daripada menjual tiket Malaysia Airlines, tapi itu (perkara yang perlu diselesai ) antara dua pihak ini," katanya.

Isu harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, yang didakwa mahal sehingga mencecah RM3,138 sehala bagi kelas ekonomi, berpanjangan apabila Ka Siong, tampil mempertahankan kenyataannya.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, menerusi perkongsian Facebook, mendakwa jawapan diberikan Loke, ketika mengulas kenyataan awalnya berhubung harga terbabit, sebagai tidak berasas.

Malah, beliau mempersoalkan mengapa Loke tetap membuat tuduhan liar bahawa apa diperkatakannya itu sebagai tidak tepat.

Terdahulu, Loke menafikan dakwaan kononnya harga tiket kelas ekonomi untuk penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini, mencecah RM3,138.

Beliau dilaporkan berkata, semua tiket Kelas Ekonomi untuk penerbangan pada tarikh berkenaan, sudah habis dijual, sebaliknya tiket yang sedang dijual, membabitkan Kelas Perniagaan.

Dalam pada itu, Loke berkata, Malaysia Airlines sudah menjual sebanyak 78 peratus kerusi untuk musim perayaan pada harga RM209 ke RM841 untuk kelas ekonomi.

Selain itu, katanya, AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap berharga RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Aidilfitri.

"Memang ada tiket mahal, namun ia biasanya membabitkan tiket dibeli pada saat akhir dan majoriti tiket dijual pada harga di bawah RM841 pada musim perayaan kali ini.

"Saya tidak kecewa dengan beliau (Ka Siong). Jadi saya mahu undang beliau, pada tarikh yang beliau pilih, 20 April ini, saya buat tawaran terbuka, pada jam 10.15 malam untuk beliau lepaskan penumpang bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau yang mana menawarkan tiket pada harga tetap RM249 untuk semua 135 penumpang.

"Kalau beliau tidak percaya ada tambang murah, saya undang beliau datang dan beliau boleh temu bual setiap penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 4:23 PM