Allahyarham Muhamad Firdaus Z Rosli (kanan) yang maut dalam kemalangan di Jalan Baru Baling- Kupang ketika bergambar bersama isterinya dan dua anak mereka. FOTO IHSAN Keluarga
Allahyarham Muhamad Firdaus Z Rosli (kanan) yang maut dalam kemalangan di Jalan Baru Baling- Kupang ketika bergambar bersama isterinya dan dua anak mereka. FOTO IHSAN Keluarga
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Baling: "Arwah abang ada beritahu dia nak pakai baju raya warna putih tahun ini," kata Hamidah, 31, adik kepada Muhamad Firdaus Z Rosli, 36, pengajar pusat latihan memandu yang maut dalam kemalangan di Jalan Baru Baling- Kupang di sini, semalam.

Menurut Hamidah, arwah abang sulung dari lima beradik itu sudah membeli baju raya tetapi tidak pasti sama ada baju berwarna hitam atau putih.

Katanya, isteri arwah, Nordiana Yahya, 35, membeli baju untuk dia dan empat anak mereka berusia 10 bulan hingga 10 tahun tetapi arwah tidak sempat mencuba baju berkenaan.

"Saya terkejut apabila menerima panggilan dari ahli keluarga memaklumkan abang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Menggigil badan juga bila dapat tahu berita itu dan bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk melihat keadaan abang yang ketika itu berada dalam trak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hamidah berkata, lebih menyedihkan lagi apabila abangnya adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan kehilangannya amat dirasai.

Katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini juga sudah tidak seronok lagi kerana biasanya arwah abangnya yang melakukan persediaan sebelum menjelang Raya di rumah mereka di Kampung Charuk Bakong Dalam Buang, Jalan Weng.

"Dia memang suka makan biskut sarang semut dan akan meminta saya buat tempahan untuk membeli kuih berkenaan.

"Sebelum ini dia suka bergurau dengan adik beradik yang lain tapi sejak akhir-akhir ni dia banyak mendiamkan diri.

"Malah ketika bersahur kali terakhir pagi kelmarin, abang tak banyak cakap dan lepas makan dia terus masuk ke bilik tidur," katanya.

Media melaporkan, dua pengajar latihan memandu maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan lori jenis Isuzu di Jalan Baru Baling- Kupang, semalam.

Muhamad Firdaus dan rakannya Muhammad Hanis Fahmi Abu Bakar, 23 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Safuri Kamaruddin, 55, berkata, dia sempat bertemu dengan arwah hampir 10 minit sebelum anak saudaranya meminta izin untuk keluar sebentar.

Katanya, kira-kira 30 minit kemudian dia menerima panggilan daripada rakan memaklumkan, Muhamad Firdaus dan rakannya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dia kata nak keluar sekejap, saya ingatkan dia nak ambil anak pulang dari sekolah tapi mereka ada urusan lain.

"Setiap hari saya jumpa dengannya kerana tempat kerjanya dekat dengan saya dan dia bekerja di situ lebih lima tahun," katanya yang juga wartawan sambilan Harian Metro Kedah.

Safuri berkata, dia juga sempat menegur Muhammad Hanis Fahmi dan mangsa memberitahu ibunya membuat kuih raya untuk dijual sempena Aidilfitri ini.

Katanya, mungkin mereka berdua dalam perjalanan untuk mengambil kuih raya di rumah ibu Muhammad Hanis Fahmi kerana lokasi kejadian tidak jauh dari Kampung Teluk Teduri yang juga berhampiran rumah mangsa.

"Muhamad Firdaus adalah ketua jurulatih pusat memandu dan tak tahu apa yang berlaku sehingga menyebabkan kereta mereka terbabas.

"Bagaimanapun kami sekeluarga reda dengan pemergian kedua-dua arwah," katanya.

Safuri berkata, jenazah Muhamad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam Buang, jam 1 pagi tadi manakala Muhammad Hanis Fahmi pula dikebumikan berhampiran kediamannya di Kampung Teluk Teduri.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 4:14 PM