NORAINI pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Santunan Kasih Ramadan Risda Johor 2023. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
NORAINI pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Santunan Kasih Ramadan Risda Johor 2023. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 berjumlah RM200 akan dibayar kepada seramai 318,642 pekebun kecil getah di seluruh negara mulai 17 April ini.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, bakal penerima BKKA itu terdiri daripada penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, ia disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar.

"Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan penyaluran BKKA 2023 mulai 17 April ini.

"BKKA yang bakal disalurkan adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri membabitkan seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

"Bagi pekebun kecil getah di bawah seliaan Risda, bantuan ini membabitkan peruntukan berjumlah RM63.75 juta," katanya pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Santunan Kasih Ramadhan Risda Negeri Johor 2023 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Risda Johor, Daman Huri Toha.

Noraini berkata, bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima seperti yang didaftarkan dengan Risda.

"Semakan status bayaran boleh dibuat melalui laman sesawang BMT.RISDA.GOV.MY," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 8:21 PM