HASNI (tiga dari kiri) dan Daman Huri (empat dari kiri) merasmikan Karnival Usahawan RISDA.
HASNI (tiga dari kiri) dan Daman Huri (empat dari kiri) merasmikan Karnival Usahawan RISDA.
MOHAMAD Nordin (kiri) dan keluarga selepas menerima Anugerah Usahawan Berjaya RISDA kategori usahawan pertanian peringkat negeri Johor 2017.
MOHAMAD Nordin (kiri) dan keluarga selepas menerima Anugerah Usahawan Berjaya RISDA kategori usahawan pertanian peringkat negeri Johor 2017.
HASNI dan Daman Huri melawat gerai pameran.
HASNI dan Daman Huri melawat gerai pameran.
Mohamad Hussin


Pembangunan keusahawanan dan aktiviti ekonomi antara usaha untuk meningkatkan kualiti hidup pekebun kecil serta tidak hanya bergantung kepada komoditi getah dan sawit semata-mata.

Oleh itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menganjurkan Karnival Usahawan RISDA (KUR) di setiap negeri bagi membantu usahawan pekebun kecil memasarkan produk secara langsung kepada orang ramai.

Ia dapat mewujudkan jaringan pasaran dan rangkaian perniagaan yang lebih luas. RISDA juga akan melaksanakan rangka kerja berpandukan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan menggabungkan kerjasama dan idea pemasaran bersama agensi kerajaan yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, bidang keusahawanan adalah salah satu enjin pertumbuhan ekonomi negara yang membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khasnya masyarakat pekebun kecil dibawah seliaan RISDA.

Beliau berkata, dengan moto Menjana Usahawan Global, RISDA berusaha untuk melahirkan dan membangunkan seramai 20,000 usahawan dari kalangan pekebun kecil menjelang tahun 2020, dengan pendapatan sekurang-sekurangnya RM4,000 sebulan.

“Bagi memastikan usahawan RISDA kekal bersaing di masa depan, RISDA membantu usahawan menambah nilai produk dengan meningkatkan kualiti produk pada harga yang bertepatan untuk pasaran tempatan ataupun antarabangsa.

“Usaha berkenaan antaranya memantapkan kemahiran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi, pembungkusan, pelabelan, akreditasi dan persijilan.

“RISDA turut menyediakan platform bagi membantu usahawan memasarkan produk dengan menyediakan bantuan premis perniagaan,” katanya ketika merasmikan KUR Johor 2017 di Johor Bahru, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tenku Hamid Jumaat dan Pengarah RISDA Johor Daman Huri Toha.

Hasni berkata, tahun ini, RISDA akan membina tujuh lagi RISDA Smallholders Mart (RisSMart) di Negeri Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis.

“Usaha ini dapat dilihat melalui beberapa langkah dan inisiatif yang dilaksanakan RISDA antaranya memperuntukan RM27 juta untuk aktiviti keusahawanan merangkumi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

“Ia termasuk pembangunan produk, pembangunan premis perniagaan, aktiviti pemasaran, pameran, promosi dan membina jaringan strategik dengan agensi berkaitan.

“RISDA juga menyediakan skim pinjaman melalui Tabung Pembangunan Sosio Ekonomi Pekebun Kecil RISDA (TPSEPK)termasuk modal pusingan, pembelian kelengkapan dan bahan mentah,” katanya.

Selain itu, katanya, RISDA Johor memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan pelbagai program keusahawanan dalam usaha memperluaskan pengeluaran produk atau menaik taraf perniagaan dikalangan pekebun kecil.

“Terdapat seramai 2,053 usahawan di Johor yang menjalankan pelbagai aktiviti keusahawanan dibawah bimbingan RISDA. Daripada jumlah itu, 905 usahawan kadet, 1,119 usahawan Mikro, 22 usahawan kecil manakala tujuh usahawan sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 2:40 PM