MAHDZIR Khalid beramah mesra dengan pekebun kecil selepas Program Bersama Pekebun Kecil anjuran Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kampung Musa,Pedu. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
MAHDZIR Khalid beramah mesra dengan pekebun kecil selepas Program Bersama Pekebun Kecil anjuran Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kampung Musa,Pedu. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman

Kuala Nerang: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM15.8 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) negeri Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata setakat ini RISDA sudah menerima 26,348 permohonan bantuan berkenaan daripada pekebun kecil getah.

"Penerima bantuan ini adalah golongan pengusaha dan pemilik daripada golongan pekebun kecil getah di seluruh negeri Kedah yang layak.

"Setakat hari ini, seramai 16,889 penerima telah dikreditkan bayaran BMT bagi fasa pertama sebanyak RM300 seorang," katanya ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur negeri Kedah di Kampung Musa, Pedu di sini, hari ini.

Mahdzir, berkata bagi daerah Padang Terap, peruntukan keseluruhan BMT oleh RISDA adalah sebanyak RM2.57 juta dengan sasaran agihan untuk 10,886 orang pekebun kecil.

Katanya, sehingga kini sejumlah 3,077 permohonan diluluskan dan 2,987 pekebun kecil daerah itu menerima bayaran.

"Ini menunjukkan prestasi yang baik oleh pihak RISDA dalam memastikan penyaluran bantuan ini sampai kepada golongan sasar dalam masa yang ditetapkan.

"BMT adalah salah satu inisiatif daripada pihak kerajaan Keluarga Malaysia melalui RISDA dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan taraf kehidupan pekebun kecil getah," katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata bayaran fasa pertama akan terus dilaksanakan dalam bulan November kepada baki pekebun kecil yang masih belum menerimanya.

Manakala katanya, bayaran fasa kedua pula akan dilaksanakan sepanjang bulan Disember secara berperingkat.

"RISDA bukan hanya menyalurkan bantuan BMT kepada pekebun kecil, malah turut ada bantuan seperti penyediaan prasarana pertanian, kemudahan infrastruktur pertanian, skim getah matang, pembangunan keusahawanan serta latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 1:52 PM