Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon (tengah) menyampaikan cek cura kepada Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS (kanan) ketika Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab 2023 dan Penyampaian Geran Tahunan Rumah Pemulihan Riqab serta Sumbangan Hari Raya di Wisma PKPS, semalam.

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan sumbangan RM11.3 juta kepada 26 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Selangor.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan RM11,348,640 itu adalah bagi kos program serta pengurusan dan penjagaan asnaf riqab di RPR yang berada di bawah seliaan MAIS.

Katanya, antara RPR yang menerima bantuan adalah Rumah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Islam Tersisih Selangor, Rumah Pertubuhan Insan Permata Disayangi, Rumah Teduhan Kasih, Rumah Penawar dan Rumah Sahabat.

"MAIS turut menyumbang RM306,000 kepada 1,207 asnaf riqab di negeri ini bagi membantu mereka membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

"Bantuan yang diagihkan adalah menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sumbangan berkenaan bertujuan membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.

"Mais berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial untuk memastikan asnaf riqab diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 12:11 PM