Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan RM 21.2 juta untuk melaksanakan pelbagai program membabitkan golongan asnaf riqab tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon berkata, sejak 2010 hingga Ogos lalu, golongan dalam kategori Asnaf Riqab ini sudah mencecah 2,529 orang dibantu.

"Angka ini meningkat dari tahun ke tahun dan ini menunjukkan MAIS serta agensi berkaitan komited dalam membantu, membimbing, memulihkan dan memberikan kebajikan kepada asnaf Ar-Riqab di Selangor.

"MAIS memperuntukkan RM 21.2 juta dari peruntukan zakat asnaf riqab untuk tahun ini bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

"Peruntukan diberikan kepada asnaf ini setiap bulan mengikut kadar ditetapkan iaitu antara RM750 hingga RM1,250" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab tahun 2022 di Hotel Mardiyyah, Seksyen 14 di sini petang semalam.

HASHIM Meon (tengah) diiringi Dr Ahmad Shahir (kiri) dan Suhaimi Ismail melancarkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2022 di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HASHIM Meon (tengah) diiringi Dr Ahmad Shahir (kiri) dan Suhaimi Ismail melancarkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2022 di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Hashim berkata, seramai 160 daripada 2,529 Asnaf Ar Riqab adalah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dibantu MAIS.

"Kita tidak beri mereka bantuan dalam bentuk barangan, sebaliknya bantuan dari segi tempat tinggal di rumah perlindungan, program mingguan seperti peningkatan akidah.

"Guru dan kaunselor juga memberi khidmat nasihat supaya mereka dapat pulih, boleh keluar dari asnaf dan kembali membayar zakat serta kehidupan lebih baik," katanya.

Sehingga kini katanya, MAIS memiliki Rumah Pemulihan Majlis (RPM) iaitu Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Selangor dan Pusat Perlindungan Baitul Islah di Serendah.

"Selain itu, MAIS juga mempunyai 25 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) yang berdaftar di bawah MAIS.

"Peranan dan fungsi Rumah Pemulihan Riqab ini adalah sangat besar dalam membantu MAIS mengatasi masalah sosial di Negeri Selangor," katanya.

Dalam pada itu katanya, MAIS melalui Jawatankuasa Riqab dan Bahagian Pemulihan Ar-Riqab MAIS mengadakan Kempen Bulan Pembebasan Riqab sepanjang bulan September ini.

Menurutnya, antara objektif kempen adalah memberikan kefahaman ilmu serta kesedaran yang mendalam kepada kepada penghuni RPM dan RPR berhubung masalah sosial dan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 10:03 AM