SUSPEK utama warga Bangladesh yang mendalangi sindiket pemalsuan pasport dan pelekat PLKS. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
SUSPEK utama warga Bangladesh yang mendalangi sindiket pemalsuan pasport dan pelekat PLKS. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Suraya Roslan


MENCARI pelanggan menggunakan 'teksi sapu' dengan menawarkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport palsu antara modus operan di digunakan sindiket didalangi warga Bangladesh ini.

Malah, kebanyakan pelanggan sindiket ini membeli dokumen itu bagi memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan di Malaysia berikutan majikan takut untuk mengambil pekerja asing yang tiada pasport di negara ini.

Taktik itu dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menumpaskan rangkaian sindiket pasport palsu dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 10 Ogos lalu di beberapa lokasi di Selangor.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawainya dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM Putrajaya.

"Berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua bulan, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang aktif di sekitar Lembah Klang.

"Hasilnya, satu serbuan dijalankan di kediaman di Cheras, Selangor yang dijadikan lokasi untuk membuat dokumen palsu pada 9 Julai lalu dan menahan dua lelaki Bangladesh dan seorang wanita Mongolia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, susulan serbuan itu membongkar satu lagi rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi oleh seorang lelaki warga Bangladesh.

"Serbuan dilakukan di kediaman di Jalan Klang Lama, Selangor yang membawa kepada penahanan seorang lelaki Bangladesh pada 10 Ogos lalu.

"Hasilnya, kami menemui sembilan pasport Bangladesh palsu, empat pelekat PLKS palsu, satu komputer riba, satu mesin pencetak serta pelbagai peralatan untuk membuat pasport palsu dan turut menyita kereta milik suspek," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berusia 39 tahun didapati sudah tinggal di Malaysia selama 10 tahun dengan menggunakan PLKS dalam sektor perkhidmatan.

"Suspek mula menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi satu pelekat PLKS palsu manakala bagi satu naskah pasport palsu bernilai RM100.

"Warga Bangladesh ini dipercayai mengaut keuntungan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil daripada jualan dokumen palsu terbabit dan semua hasil keuntungan dihantar ke Bangladesh.

"Kita mengesan modus operandi digunakan suspek dengan menjalankan kegiatan kereta sewa tidak berlesen atau 'teksi sapu' dan giat mencari pelanggan sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Katanya lagi, suspek akan menawarkan kepada pelanggan pelekat PLKS serta pasport palsu dan kebanyakan pelanggannya warga Bangladesh 'kosong'.

"Suspek ditangkap kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan pas PLKS yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.

"Operasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan dengan Covid-19 dan suspek juga dihantar untuk menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Putrajaya serta hasil keputusan ujian adalah negatif.

Katanya, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin atau maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dan boleh menggugat kedaulatan negara supaya tampil menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 1:20 PM