Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 21,378 warga asing majoritinya rakyat Indonesia, Bangladesh dan Pakistan dikesan berkeliaran 'bebas' di negara ini menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Difahamkan warga asing ini membeli PLKS palsu dikeluarkan sindiket penggodam sistem pangkalan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada harga antara RM6,000 hingga RM8,000 setiap satu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mula memburu warga asing menggunakan PLKS palsu berkenaan sejak tahun lalu.

Di samping itu, beliau berkata, pemegang PLKS palsu berkenaan membabitkan pekerja dan majikan pelbagai sektor termasuk perladangan, perkilangan dan perkhidmatan pembersihan.

AZAM (dua dari kanan) bersama Khairul Dzaimee  (tiga dari kanan) melihat kenderaan mewah yang dirampas di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, semalam.
AZAM (dua dari kanan) bersama Khairul Dzaimee (tiga dari kanan) melihat kenderaan mewah yang dirampas di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, semalam.

"Pada tahun lalu, ada beberapa tangkapan dibuat khususnya warga Bangladesh yang menggunakan PLKS palsu.

"Setakat ini, sindiket itu yang aktif sejak beberapa tahun lalu didapati tidak membabitkan negara pembekal warga asing. Mereka yang menggunakan pas PLKS palsu adalah dalam kalangan individu dan majikan.

"Data pekerja asing ada dalam sistem. Jika kita dapati mereka guna PLKS palsu, mereka akan ditahan dan diusir keluar dari negara ini selepas melalui proses tertentu," katanya ketika ditemui pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

SEBAHAGIAN barangan rampasan dipamerkan pada sidang media  di Pejabat SPRM, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, semalam.
SEBAHAGIAN barangan rampasan dipamerkan pada sidang media di Pejabat SPRM, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, semalam.

"Kerugian cukai levi yang ditanggung oleh kerajaan angkara sindiket menjual PLKS palsu ini bernilai kira-kira RM4.7 juta dengan setiap PLKS sah dikenakan bayaran sebanyak antara RM600 hingga RM1,600 bergantung kepada sektor yang dimohon," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan sindiket PLKS palsu tumpas susulan penahanan lima individu termasuk seorang berpangkat Datuk menerusi operasi besar-besaran awal pagi kelmarin.

Operasi SPRM dengan kerjasama Imigresen itu turut dapat merungkai kegiatan sindiket itu yang menyebabkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Sindiket didakwa beroperasi di hotel mewah sekitar ibu kota yang dijadikan markas untuk menghasilkan PLKS palsu sebelum dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:00 AM