Anggota polis Zionis berhampiran masjid Al-Aqsa. FOTO REUTERS
Anggota polis Zionis berhampiran masjid Al-Aqsa. FOTO REUTERS
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pergerakan Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya serangan polis rejim Zionis ke atas umat Islam yang sedang beribadat di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis di Palestin, awal pagi semalam.

Naib Ketuanya, Mohd Hairi Mad Sah berkata, penjarahan dan pencabulan rejim Zionis ke atas hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan mengikut undang undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin, adalah amat dikesali.

"Dasar undang-undang kemanusiaan dunia di dalam Persidangan Geneva menetapkan bahawa serangan tidak boleh dilakukan ke atas rumah ibadat, penduduk awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak serta pusat yang menjadi tempat yang mana kakitangan perubatan merawat mangsa yang tercedera.

"Bagaimanapun, prinsip asas ini tidak diendahkan rejim Zionis yang terus melakukan pencerobohan dan serangan setiap kali Ramadan. Ia adalah perbuatan keji, amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

"Pergerakan Pemuda Umno menggesa negara-negara gergasi dunia, khususnya negara Islam yang kononnya menjuarai hak asasi manusia, untuk bertindak dan mengutuk serangan keji ini, bukan hanya mendiamkan diri daripada membuat sebarang kenyataan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menerusi laporan media, polis kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid Al-Aqsa semalam.

Ia beberapa jam selepas rejim Zionis melakukan serbuan pada awal pagi dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 individu dari kawasan masjid berkenaan.

Konfrontasi itu menyaksikan pihak berkuasa rejim Zionis cuba mengusir jemaah dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan 'stun' mengakibatkan 12 rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, cedera.

Sehubungan itu, Mohd Hairi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, Pergerakan Pemuda Umno mendesak supaya serangan kepada rakyat Palestin dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim zionis Israel ke atas Masjid al-Aqsa pada Ramadan ini dihentikan serta merta.

"Ayuh seluruh rakyat Malaysia, kita nyatakan solidariti mengutuk serangan rejim Zionis dan terus berdiri teguh bersama-sama dengan saudara-saudara kita di Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:28 PM