Rosli Ilham

Dungun: Polis mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap seorang lelaki bagi menjalankan siasatan berhubung kes mendatangkan ugutan kepada pegawai dan anggota polis.

Suspek berusia 53 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun jam 12.30 tengah hari tadi.

Majistret Noradila Ab Latif membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan membuat ugutan terhadap pegawai dan anggota polis sejak sebulan lalu.

Menurutnya, suspek sebelum itu dikatakan menyembunyikan diri selepas mengetahui diburu polis. "Bagaimanapun suspek berjaya ditahan di Bangi, Selangor, kira-kira jam 12 tengah malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

"Pagi ini kita bawa suspek ke Mahkamah Dungun bagi permohonan reman selama empat hari," katanya.

Baharuddin berkata, kes suspek yang juga seorang peniaga itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

"Selepas sebulan usaha mengesan suspek dilakukan, polis berjaya menahan suspek hasil daripada risikan yang dilakukan," katanya.

SUSPEK ke Mahkamah Majistret Dungun untuk mendapat perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham
SUSPEK ke Mahkamah Majistret Dungun untuk mendapat perintah tahanan reman. FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:29 PM