Muhamad Lokman Khairi

Bagan Datuk: Presiden UMNO yang juga Timbalan PerdanaMenteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komposisi barisan EXCO baharu bagi kerajaan negeri Melaka mesti menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, adalah lebih baik menzahirkan kebersamaan parti Kerajaan Perpaduan walaupun Barisan Nasional (BN) menguasai tiga per empat kompisisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini.

"Walaupun kita tahu bahawa di Melaka, UMNO dan Barisan Nasional memperolehi tiga per empat suara majoriti di negeri berkenaan, namun alangkah baiknya jika Kerajaan Negeri Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan juga perkongsian kuasa dengan ADUN yang telah dipilih oleh rakyat daripada parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tadarrus al-Quran Perdana Sempena Ramadhan 1444H Peringkat Parlimen Kawasan Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, dekat sini, hari ini.

AHMAD Zahid (tengah) ketika menghadiri Majlis Tadarrus al-Quran Perdana Sempena Ramadhan 1444H Peringkat Parlimen Kawasan Bagan Datuk. FOTO Muhamad Lokman Khairi
AHMAD Zahid (tengah) ketika menghadiri Majlis Tadarrus al-Quran Perdana Sempena Ramadhan 1444H Peringkat Parlimen Kawasan Bagan Datuk. FOTO Muhamad Lokman Khairi

Menurut Ahmad Zahid, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai pelantikkan barisan EXCO kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Jelasnya, kestabilan Kerajaan Perpaduan di negeri Melaka bakal menyumbangkan kemenangan parti-parti komponendalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

"Kerjasama terjalin antara BN dan Kerajaan Perpaduan melalui pengagihan kerusi memang telah dimulakan.

"Tentunya kestabilan politik di Melaka akan turut menyumbang kebolehmenangan di enam negari pada PRN nanti," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bakal dilantik dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Semalam, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 1:34 PM