Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Umno tidak mengambil sikap keras sebaliknya meraikan perbezaan pendapat ahlinya kecuali tindakan tegas akan diambil jika ia akan merosakkan perpaduan parti.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam menyuarakan pendapat parti itu mengambil sikap terbuka selagi ia tidak menjejaskan perpaduan parti.

Bagaimanapun katanya, Lembaga Disiplin Umno pastinya tidak akan berdiam diri dan mengambil tindakan tegas terhadap perkara perlu diambil tindakan sewajarnya.

"Saya fikir kalau Lembaga Disiplin mahu mengambil tindakan bukan sekadar beliau (Tengku Razaleigh Hamzah) tapi ramai lagi bekas pemimpin sama ada yang menjadi Ahli Parlimen atau berada di luar kepimpinan Majlis Tertinggi yang boleh diambil tindakan.

"Tetapi kita tidak mengambil sikap keras sebaliknya kita menyantuni dan meraikan perbezaan pendapat kecuali jika ia merosakkan perpaduan parti maka tentunya lembaga disiplin mempunyai budi bicara tertentu bagi mengambil tindakan keras

"Selagi ia hanya perbezaan pendapat tapi tidak merosakkan parti sebagaimana yang berlaku pada beberapa orang yang sudah diambil tindakan... maka kita bersikap terbuka untuk menyantuni semua perbezaan pendapat itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Lembaga Disiplin Umno perlu mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih tidak mengikut keputusan parti menyokong kerajaan hari ini yang diterajui Umno.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, lembaga disiplin itu juga perlu tegas dan mengambil tindakan terhadap apa yang dilakukan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li.

AHMAD Zahid (kiri) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Umno Bagan Datuk. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
AHMAD Zahid (kiri) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Umno Bagan Datuk. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 7:38 PM