RUSLIN Jusoh pada sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
RUSLIN Jusoh pada sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: "Tidak adil saya menuding jari kepada semua pegawai Imigresen sedangkan hanya segelintir sahaja mereka yang 'nakal'.

"Jika berlaku pelanggaran arahan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas... hingga di peringkat tertinggi," kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Menurutnya, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menyiasat pegawai agensi itu yang disyaki berkomplot dengan sindiket penyeludupan pendatang haram.

Dalam kes penyeludupan pendatang haram Filipina ke Semenanjung, katanya, siasatan kes itu diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

"Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam isu ini dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkaitan.

"Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja sekiranya didapati bersalah selepas menjalani proses perundangan," katanya pada sidang media di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM, di sini, hari ini.

Ruslin berkata, sebagai salah satu agensi penguat kuasa yang berperanan menjaga sempadan, isu integriti dalam kalangan pegawainya adalah perkara penting yang diberi penekanan.

"Tugas menjaga sempadan negara adalah amanah rakyat kepada kami. Justeru itu, saya tekankan kepada setiap pegawai supaya patuh pada peraturan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lima pegawai JIM antara sembilan individu direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket menyeludup keluar Pati melalui Lapangan Terbang Tawau (LTT), Sabah.

Lima anggota Imigresen berusia antara 30 hingga 41 tahun itu membabitkan tiga wanita dan dua lelaki yang masing-masing bertugas LTT.

Isnin lalu pula, seorang lagi pegawai JIM ditahan SPRM selepas disyaki berkomplot dengan sindiket penyeludupan pendatang haram Filipina ke Semenanjung.

Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:20 PM