LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung penahan lima pegawainya di Sabah disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati), Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil bagi menyiasat perkara itu.

"JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terbabit dalam aktiviti tidak berintegriti.

"Tindakan dan hukuman serius akan dikenakan termasuk buang kerja sekiranya pegawai terbabit terbukti bersalah.

"JIM serius dan komited dalam memastikan integriti pegawai sentiasa berada di tahap yang maksimum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara jam 2 petang hingga 9 malam menerusi Ops Lancar oleh SPRM.

Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan sekitar daerah Tawau antara jam 3 hingga 5 petang hari yang sama.

Ruslin berkata, JIM sudah mengadakan pelbagai program bagi menerapkan nilai integriti tinggi dalam kalangan setiap pegawainya.

Katanya, selain itu jabatan juga sentiasa bekerjasama dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran.

Berita berkaitan:

  • Ada petualang di airport Tawau
  • 'Muka tak sama dengan IC pun boleh lepas'
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 12:14 PM