GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi, selepas disyaki berkomplot dengan sindiket penyeludupan pendatang haram Filipina ke Semenanjung Malaysia.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 30-an itu adalah pegawai JIM keenam ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (JIM) sejak operasi bermula Khamis lalu.

"Pegawai Imigresen gred 19 bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT), Sabah ditahan sepasukan anggota SPRM pagi semalam, susulan siasatan dilakukan terhadap kes berkenaan.

"Suspek terbaru ditahan ini dipercayai ada kaitan dengan tangkapan sindiket yang aktif menyeludup kumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan menaiki pesawat komersil dari LTT ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 2018.

"Mereka dipercayai menerima wang suapan dari sindiket bagi membolehkan kumpulan Pati menyamar sebagai rakyat tempatan melepasi pintu kawasan keselamatan di LTT," katanya.

Galan Ngadit mengesahkan tangkapan seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia pagi tadi.
Galan Ngadit mengesahkan tangkapan seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Timbalan Pengarah Perisikan (Kawalan Zon) SPRM, Galan Ngadit yang dihubungi Harian Metro mengesahkan tangkapan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk proses tahanan reman.

Jumaat lalu Harian Metro secara eksklusif mendedahkan lima pegawai JIM antara sembilan individu direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket menyeludup keluar Pati melalui lapangan terbang.

Semua mereka mendapat perintah reman sehingga Rabu ini.

Lima anggota imigresen berumur antara 30 hingga 41 tahun itu membabitkan tiga wanita dan dua lelaki yang masing-masing bertugas LTT.

Semua mereka disyaki menerima wang suapan antara RM100 hingga RM3,000 bagi setiap Pati daripada sindiket sebagai dorongan untuk melepaskan Pati yang menggunakan MyKad orang lain.

Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 5:37 PM