SHAIFUL Hazizy. FOTO arkib Bernama
SHAIFUL Hazizy. FOTO arkib Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didesak menjelaskan mengapa perlu mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung dakwaan beliau dihalang hadir majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan Menteri Besar Kedah itu boleh dianggap sebagai hanya mahu menimbulkan kontroversi murahan saja.

Menurutnya, Muhammad Sanusi sepatutnya menjunjung titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum ini yang mengingatkan semua pihak tidak berpolitik secara berlebihan sehingga menjejaskan hubungan negeri dan Persekutuan.

"Adalah sesuatu yang tidak produktif jika Sanusi mengeluarkan kenyataan yang ternyata tidak benar, kemudian seolah-olah menjadi mangsa yang mahu mendapat simpati rakyat sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Saya yakin Kerajaan Perpaduan sama sekali tidak akan memencilkan rakyat Kedah walaupun mempunyai Menteri Besar yang berjiwa kecil dan penuh dengan lakonan, sedangkan berpolitik juga perlu ada hadnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalangnya daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, larangan itu termasuk daripada menghadir Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA) yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, adalah penting untuk Kedah memelihara keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan agar fokus terhadap penyelesaian isu serta permasalahan rakyat tidak terjejas.

"Apa yang kita lihat Sanusi tidak bersungguh dalam hal ini, malah dilihat seolah-olah langsung tidak peduli dalam usaha mahu menjaga keharmonian hubungan itu.

"Ini adalah suatu yang mengecewakan dan hanya akan memangsakan rakyat Kedah jika keadaan berlarutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 12:12 PM