Oleh Samadi Ahmad


Sepang: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar melalui aplikasi Twitter di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, dari Chemor, Perak memohon dibicarakan selepas mendengar pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Mai Zairani Zainal Abidin.

Dalam pertuduhan itu, Nor Fadzelli didakwa memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Johor dengan sengaja menggunakan aplikasi akaun Twitter @fadzelli6 pada 25 November 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani Mohamad Fadzil mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang masih bujang dan tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana menanggung seorang ibu dan lima beradik.

Mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh menyediakan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 12:55 PM