Omar Ahmad

PENIAGA mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Mahkamah Seksyen Johor Bahru hari ini.

Tertuduh, Md Haniff Md Yunos, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim V. Mabel Sheela selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Haniff didakwa melakukan perbuatan itu pada 1.13 tengah hari, 14 Disember tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu melalui aplikasi Facebook (FB) 'Haniff Md Haniff Yunos' di sebuah rumah Taman Seri Austin Hills.

Md Haniff didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan Kelantan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Profil FB itu kemudiannya dibaca di Jalan Seri Austin Hills 3/10, Taman Seri Austin Hills pada 2.20 petang hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh turut mencadangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin kerana mengambil kira kegagalan tertuduh hadir pada minggu lalu.

Md Haniff dalam rayuannya memberitahu kegagalannya hadir ke Mahkamah pada minggu lalu kerana mengambil ubat berkaitan penyakit Bipolar yang dihidapinya selain tidak cukup wang jaminan.

Mabel Sheela kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan tertuduh yang menanggung keluarganya kerana isterinya hanyalah suri rumah dan memiliki lima anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Hakim turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya sekali setiap bulan dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Mabel Sheela turut menasihati tertuduh supaya menukar kata laluan FB miliknya berikutan mendakwa bahawa akaunnya sering digodam.

Md Haniff ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto Omar Ahmad
Md Haniff ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 12:40 PM