- Foto hiasan
- Foto hiasan
Murni Wan Omar


PELAJAR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan membuat dan menghantar komunikasi jelik berhubung Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook miliknya.

Ain Zafira Md Said, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa menggunakan laman profil Facebook ‘Ain Zafira Md Said’ secara sedar membuat penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 5 pagi, 5 September lalu.

Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju pada jam 4.15 petang, 8 September lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Pastors.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 6 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 6:16 PM