Juwan Riduan


Putatan: Selepas hampir 16 jam hilang, mayat lelaki yang dilaporkan hanyut ketika menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh bersama kereta di sungai Kampung Imbahan, di sini, ditemui, 9.15 pagi, hari ini.

Mayat Lasibi Lawahidu, 40, ditemui oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan dron dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi pencarian hari kedua hari ini bermula 6 pagi selepas ditangguh 12.30 tengah malam tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan hampir 70 pegawai dan anggota daripada setiap agensi keselamatan menjalankan tigas pencarian.

"Alhamdulillah, pada 9.15 pagi tadi, pasukan penyelamat SAR berjaya menemukan mangsa dalam keadaan terapung dengan jarak 300 meter daripada lokasi di mana mangsa dilihat tenggelam ketika menyelamatkan anaknya, semalam.

"Mangsa telah kita keluarkan dari sungai dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

"Operasi disertai PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah; PGU, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela); dan penduduk kampung," katanya.

Dalam kejadian semalam, Lasibi dikatakan terjun ke dalam sungai berkenaan selepas kereta yang ketika itu dinaiki anaknya Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai.

Mangsa yang berada di tebing dan sedang memancing kemudian terjun untuk menyelamatkan anaknya dan mangsa sempat mengeluarkan anaknya daripada kereta sebelum dibantu oleh orang awam.

Bagaimanapun ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa tiba-tiba hilang tenggelam.

Berita berkaitan:

Kereta terjunam dalam sungai, lelaki mungkin lemas selepas selamatkan anak

Operasi SAR bapa dikhuatiri lemas selepas selamatkan anak disambung [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 12:39 PM
ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa yang ditemui 300 meter dari lokasi dilaporkan tenggelam di sungai Kampung Imbahan, Putatan. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa yang ditemui 300 meter dari lokasi dilaporkan tenggelam di sungai Kampung Imbahan, Putatan. FOTO Juwan Riduan