ZAMROSE (kiri) menyerahkan tugas kepada Mohammad (kanan) pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
ZAMROSE (kiri) menyerahkan tugas kepada Mohammad (kanan) pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat baharu berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya percaya dengan kredibiliti dan kemampuan Mohamad untuk menerajui ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM) ke aras lebih tinggi.

"Saya ucapkan tahniah kepada Mohammad. Saya percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau dan daya kepimpinan tinggi mampu membawa ketumbukan ini ke satu aras lebih tinggi.

"Walaupun berlaku peralihan pucuk pimpinan saya harap TDM kekal fokus dalam menjalankan tanggungjawab memastikan keselamatan rakyat dan negara terjamin," katanya ketika berucap pada majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Mohammad, 59, berasal dari Machang, Kelantan menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada tahun 1980.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari University of North Carolina, Amerika Syarikat itu ditauliahkan sebagai pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1987 dan berkhidmat selama 36 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah pegawai memerintah Batalion ke-23 RAMD (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat, dan Panglima Medan Barat.

Beliau dilantik sebagai pemimpin tertinggi TDM dalam satu majlis serah terima tugas di Wisma Pertahanan, di sini.

Mohammad menggantikan Panglima Tentera Darat ke-28, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain yang bersara selepas 42 tahun berkhidmat sebagai pegawai tentera.

Zamrose yang menerajui pucuk kepemimpinan TDM sejak 11 Jun 2020 akan mula bercuti bermula esok sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 12:47 PM