MOHAMAD (dua kanan) menyaksikan penyerahan tongkat tugas oleh Mohammad (kiri) kepada  Muhammad Hafizuddeain (kanan) disaksikan Affendi (dua kiri). FOTO Aswadi Alias
MOHAMAD (dua kanan) menyaksikan penyerahan tongkat tugas oleh Mohammad (kiri) kepada Muhammad Hafizuddeain (kanan) disaksikan Affendi (dua kiri). FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik Panglima Tentera Darat yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya percaya dengan kredibiliti dan kemampuan Muhammad Hafizuddeain untuk menerajui ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM) ke aras lebih tinggi.

"Berbekalkan daya kepimpinan yang tinggi, saya percaya beliau akan berupaya menerajui Tentera Darat dengan baik, dan membawa ketumbukan ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Saya amat yakin, perubahan pucuk pimpinan ini tidak akan sekali-kali menjejaskan keteguhan, serta fokus segenap lapisan Tentera Darat, dalam menunaikan tanggungjawab, bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara," katanya dalam ucapan pada majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat ke-30.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang,

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Muhammad Hafizuddeain , 55, dilahirkan di Segamat, Johor dan mendapat pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1985.

Beliau kemudiannya berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menjalani latihan pegawai kadet MTD di Kem Sungai Besi bermula pada 19 Ogos 1986 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 30 Julai 1988 sebagai Ketua Platun di Batalion ke-10 RAMD.

Beliau juga menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam dan luar negara, antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Infantri Officer Advance Course di Amerika Syarikat, Command and General Staff College di Amerika Syarikat, Master in Management di Filipina, Sariana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Pegawai Memerintah Batalion Keempat RAMD, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 4:09 PM