TANGKAP layar kemalangan yang tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar kemalangan yang tular di media sosial. FOTO tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua pejalan kaki maut dirempuh Perodua Myvi yang hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Raja Laut, di sini awal pagi semalam.

Kejadian 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi melanggar Proton Wira yang mengubah haluan sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kejadian kemalangan berkenaan membabitkan empat kenderaan dan empat pejalan kaki.

"Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki menyebabkan dua daripadanya maut.

"Seorang mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi pejalan kaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua lagi mangsa pejalan kaki yang parah masih dirawat di hospital.

"Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun dan pemandu Perodua Myvi berusia 20 tahun tidak mengalami kecederaan dan direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu merbahaya sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03- 20260267/69 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 10:03 PM