Penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang kereta Perodua Myvi di Kilometer 3.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Gombak, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang kereta Perodua Myvi di Kilometer 3.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Gombak, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang kereta Perodua Myvi di Kilometer 3.2, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Gombak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi, lelaki berusia 26 tahun itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Myvi berusia 27 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Damansara menghala ke Shamellin Mall.

Menurutnya, semasa melalui Lebuhraya DUKE, motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang keretanya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur, 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 4:39 PM