Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Seorang anggota polis berpangkat sarjan berdepan 34 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM12,500 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Izzham Halim, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu sarjan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman secara rasuah menerima suapan melalui akaun banknya daripada seorang individu.

Tertuduh didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 bermula 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lalu.

Suapan itu bagi melakukan perbuatan iaitu menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

MOHD Izzham  (dua, kiri)  mengaku tidak bersalah 34 pertuduhan menerima rasuah. FOTO Ghazali Kori
MOHD Izzham (dua, kiri) mengaku tidak bersalah 34 pertuduhan menerima rasuah. FOTO Ghazali Kori

Hakim Mohd Azhar kemudiannya menetapkan 3 April depan untuk pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat SPRM antara satu hingga lima haribulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athirah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 4:19 PM