GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni

Sibu: Pempengaruh media sosial wanita mengalami kerugian RM16,799 apabila ditipu sindiket yang menawarkan pekerjaan selepas 'terpikat' dengan komisen yang ditawarkan.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 28 tahun terjerat selepas melihat iklan kerja kosong di Facebook dengan dijanjikan komisen sebanyak RM1,000 sekiranya menjadi 'Live-host' minima 30 jam seminggu.

"Berminat dengan tawaran itu, mangsa berhubung menerusi akaun Facebook terbabit lalu diminta mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi bagi mendapatkan kerja yang ditawarkan itu.

"Mangsa kemudian mengisi maklumat peribadi perbankannya serta kata laluan untuk membayar caj pendaftaran berkenaan melalui aplikasi yang diberi, namun aplikasi itu memberi mesej proses pembayaran tidak berjaya.

"Wanita itu kemudian menerima notifikasi bahawa terdapat transaksi pemindahan wang berlaku tanpa pengetahuannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wangnya berjumlah RM16,799 hilang dari akaun lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada Ahad lalu.

Katanya, berikutan itu polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Orang ramai boleh membuat semakan di http://semakmuke.rmp.go.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03-26101559/03-26101599, Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 4:15 PM