Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili (duduk, tengah) bersama-sama pegawai kanan IPD Sibu pada sidang media berhubung kejayaan tangkapan ke atas dalang serta beberapa ahli 'Kumpulan Jason' di IPD Sibu, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili (duduk, tengah) bersama-sama pegawai kanan IPD Sibu pada sidang media berhubung kejayaan tangkapan ke atas dalang serta beberapa ahli 'Kumpulan Jason' di IPD Sibu, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sibu: Sindiket membeli kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan maklumat bank untuk kegiatan 'scam' tumpas selepas polis memberkas dalang utama dan ahli sindiket dikenali Kumpulan Jason.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan pertama pada 14 Disember lalu iaitu dua lelaki tempatan berusia 20-an yang juga ahli sindiket.

Katanya, susulan penahanan suspek, pasukan Bahagian Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu berjaya menangkap ketua kumpulan, Jason @ Ah Long berusia lingkungan 20-an semalam.

"Tangkapan ini hasil daripada risikan yang dijalankan sejak Jun lalu.

"Kumpulan bergiat aktif mengutip dan membeli kad ATM di sini, yang menjurus kepada beberapa kes penipuan dalam talian sebelum ini," katanya pada sidang media di IPD Sibu, hari ini.

Zulkipli berkata, Jason akan merekrut ejen dalam kalangan orang tempatan untuk mencari individu yang berminat bagi menyewa atau menjual akaun perbankan pada kadar RM400 hingga RM500 bergantung kepada jenis akaun dan bank.

"Siasatan awal mendapati kad ATM yang diterima, terlibat dengan kegiatan penipuan dalam talian seperti pinjaman tidak wujud, e-Dagang, Macau Scam dan tipu tawaran pekerjaan sambilan," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya merampas 13 keping kad ATM yang bakal dihantar kepada sindiket, 16 keping kad sim, sekeping kad pengenalan atas nama seorang wanita, enam unit telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Axia.

Katanya, hasil semakan telefon bimbit yang dirampas dan semakan melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS) mendapati 11 akaun bank lain yang telah disewa terbabit dengan sembilan kes yang telah dibuka kertas siasatan, membabitkan jumlah kerugian mencecah RM 175,013.99.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihati orang ramai untuk tidak menyerahkan atau memberikan maklumat akaun kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang.

Maklumat lanjut dan semakan boleh dibuat di balai polis terdekat atau portal http://semakmuke.rmp.gov.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03-26101559/03- 26101599, Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 4:22 PM