Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Diperdaya dan ditipu RM5,000 oleh suspek menyamar sebagai anggota polis Bukit Aman yang mendakwa boleh mendapatkan kenderaan hasil rampasan kastam.

Itu nasib dialami seorang peniaga berusia 48 tahun yang diperdaya penjenayah melalui laman sosial Facebook pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa sebelum itu mendakwa berminat membeli sebuah kereta model Honda ditawarkan pada harga RM10,000.

Menurutnya, suspek yang menyamar sebagai anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman mengarahkan mangsa membuat pembayaran deposit sebanyak RM5,000 sebagai tempahan.

"Mangsa yang percaya dengan tawaran berkenaan membuat pembayaran berjumlah RM5,000 ke dalam akuan bank diberikan suspek.

"Selepas membuat pemindahan wang, mangsa diberitahu rakannya bahawa iklan itu adakan iklan lama. Mangsa yang menyedari ditipu cuba mencari semula laman Facebook itu namun mendapati ia sudah dipadamkan," katanya tadi.

Susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam di sini, pada hari sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

"Bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku, pihak polis menasihati orang ramai sentiasa berhati -hati dengan tawaran penjualan kereta secara atas talian," katanya.

Orang ramai juga dinasihati supaya membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau dengan memuat turun aplikasi "Check Scammer CCID" di Google Play Store untuk mengelakkan diri dari jadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:39 PM