TAN Sri Michelle Yeoh.
TAN Sri Michelle Yeoh.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh yang melakar sejarah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan seniwati kelahiran Ipoh, Perak, itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Selain itu, ia juga sekali lagi membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa," menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua juga menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Yeoh dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Yeoh, 60, menewaskan empat pencabar lain bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Cate Blanchett (Tar), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans) pada majlis yang berlangsung di di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat, pagi ini.

Pada Januari lalu, Yeoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe ke-80, Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) ke-29 pada awal Februari dan Lakonan Terbaik pada Anugerah Spirits, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 6:43 PM