Omar Ahmad


Yong Peng: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan tiada penyakit bawaan air direkodkan sepanjang kejadian banjir, setakat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata, pihaknya menasihati mangsa banjir di negeri ini supaya menjaga kebersihan diri sepanjang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak membenarkan makanan dimasak di PPS bagi menjaga kualiti makanan kepada mangsa banjir.

"Setakat ini belum dapat maklumat dan laporan tentang penyakit bawaan air di PPS seluruh Johor. Saya dimaklumkan JKM menguruskan makanan dengan cara tempahan dan tidak dibenarkan mangsa banjir memasak di PPS.

"Cara tempahan dibuat supaya kualiti makanan terjaga, malah Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil sampel makanan setiap hari untuk memastikan makanan berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Yong Peng 1, di sini, hari ini.

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng berkata, semua PPS di negeri ini juga disanitasi dan pembersihan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sanitasi bagi mengekang penularan Covid-19 juga akan dibuat setiap hari di PPS dengan kerjasama PBT. Selain sanitasi, kita juga melakukan semburan asap bagi menjaga kebersihan kawasan PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 2:59 PM