HALIMAH dan Nur Aulia Izatunisa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar semalam.  FOTO Zuhainy Zulkiffli.
HALIMAH dan Nur Aulia Izatunisa tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar semalam. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: "Saya cuba padamkan api namun tidak berjaya dan akibatnya, api semakin marak menyebabkan saya dan cucu saudara bergegas menyelamatkan diri," kata Halimah Syed Ahmad Yani, 67.

Wanita itu sangat bersyukur dia dan Nur Aulia Izatunisa Mohd Azri, 7, terselamat dalam kebakaran di rumah dua tingkat yang didiami mereka di Lebuh Sungai Ara di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian dia tertidur sebelum dikejutkan Nur Aulia yang memberitahu ternampak percikan api di tingkat atas rumah.

"Saya bergegas naik dan cuba memadam api itu dengan menyiram air tetapi ia semakin marak dan kami segera turun dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

"Ketika itu hanya fikir mahu keluar rumah segera kerana api marah dengan cepat," katanya yang ditemui.

Menurutnya, turut musnah sebuah motosikal milik bapa Nur Aulia dan dia menganggarkan kerugian sebanyak RM50,000.

Dalam pada itu, Ketua Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Rohaizal Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 6.51 petang.

Katanya operasi pemadaman segera digerakkan dengan bantuan BBP Paya Terubong, BBP Seri Balik Pulau dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Katanya, kebakaran memusnah 80 peratus kediaman itu dan punca masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 1:37 AM