Datuk Azman Adam
Datuk Azman Adam
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Taktik menggunakan plat nombor pendaftaran kenderaan palsu ketika menjalankan sindiket penyelewengan minyak diesel secara haram berjaya dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi pihak terbabit bertujuan mengaburi pihak berkuasa ketika menjalankan sindiket.

Menurutnya, pihak terbabit menjadikan lokasi serbuan iaitu stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap.

"KPDN berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbabit menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah premis tanpa nama di Jalan Johan Setia, Klang.

"Hasil aduan orang awam dan risikan pihak KPDN, premis disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi diserbu bermula jam 3 petang pada 16 April lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan serbuan menemukan minyak diesel dengan kuantiti dianggarkan berjumlah 9,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

"Sebuah lori, beberapa tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) dan skid tank yang mengandungi minyak diesel, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain ditemui di lokasi serbuan disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM88,300. Dua lelaki tempatan, berumur 67 dan 48 tahun yang berada di premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terbabit dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel itu termasuk sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 8:34 PM