ANGGOTA APM memantau lokasi kejadian limpahan air sungai di sekitar kawasan Dangi, Johol Kuala Pilah. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM memantau lokasi kejadian limpahan air sungai di sekitar kawasan Dangi, Johol Kuala Pilah. FOTO Ihsan APM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 807 mangsa banjir membabitkan 218 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah di Negeri Sembilan setakat jam 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan Mohd Nazri Mes Kam berkata, daerah Tampin mencatatkan bilangan mangsa tertinggi seramai 595 orang yang dipindahkan.

Katanya, sebanyak lima PPS dibuka di Tampin iaitu PPS Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok, PPS SK Sungai Kelamah, PPS Balai Raya Pasir Besar dan PPS SK Londah.

"PPS SK Sungai Kelamah menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi 524 orang daripada 135 keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, empat PPS dibuka di daerah Jempol yang menempatkan seramai 152 mangsa daripada 38 keluarga.

Katanya, empat PPS berkenaan adalah di SK Palong 1, SK Palong 7, SK Rompin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sialang.

"Seramai 60 mangsa banjir pula ditempatkan di dua PPS di daerah Kuala Pilah.

"Dua PPS dibuka di Dewan Desa Dangi dan SK Pilah yang membabitkan 23 keluarga yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:59 PM